
AHLI  falak yakin anak bulan akan cukup syarat pada 29 Ogos ini untuk  memulakan bulan baharu iaitu Syawal pada 30 Ogos ini. - Gambar hiasan
KUALA  LUMPUR – Beberapa orang ahli falak yakin umat Islam akan menyambut hari  raya Aidilfitri pada Selasa, 30 Ogos ini berdasarkan kajian dan  perkiraan hisab serta kedudukan anak bulan Syawal.
Menurut  Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Tuan Syed Kamaruzaman  Syed Kabeer, andaian itu dibuat kerana penentuan awal Syawal 1432H  menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria  imkanur rukyah (kebolehnampakan).
“Berdasarkan  perkiraan itu, anak bulan dijangka sudah cukup syarat untuk memulakan  bulan baharu (Syawal) pada 30 Ogos ini,” jelasnya ketika dihubungi di  sini semalam.
Beliau  bagaimanapun menjelaskan, tarikh sebenar hari raya tetap tertakluk  kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja.
Menurutnya, perkiraan hisab di negara ini turut diamalkan di negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.
Di  Melaka, Ketua Bahagian Falak Syarie Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr.  Kassim Bahali juga sependapat dengan Syed Kamaruzaman bahawa hari raya  diramalkan jatuh pada Selasa kerana berdasarkan hisab, kedudukan bulan  pada 29 Ogos ini bersamaan 29 Ramadan memenuhi kriteria Imkarnur Rukyah  (kebolehnampakan).
“Hilal iaitu anak bulan dijangka memenuhi syarat minimum yang ditetapkan iaitu umur anak bulan sudah melebihi lapan jam.
“Anak  bulan ialah cahaya bulan yang mula-mula kelihatan selepas ijtimak iaitu  kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan,” katanya  ketika dihubungi di Melaka semalam.
Beliau menjelaskan, berdasarkan faktor ini, 1 Syawal 1432 Hijrah dijangka jatuh pada Selasa, 30 Ogos ini.
sumber : kosmo













