Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan  ritual penganut Kristian.

TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam  tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi  sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.
Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi  pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada  baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang  sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan  sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang  serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan  kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta  sahabat handai. 
Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih  disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA)  dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan  bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam  Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005  memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”
Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan JAKIM membincangkan secara  lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari  yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.
Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat  Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan  memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi  sebuah perayaan.
Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali  adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu  Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang  bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The  Name: The Etemology dand History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama  seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari  Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan  kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu  bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya  sendiri.
Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi  merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.
Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari  Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan  menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa  dan dewi Rom.
Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu  perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta  berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam  bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang  terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St  Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang  diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja  Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak  terbabit dalam peperangan.
Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang  Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St  Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga  mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan  kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan  sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara  keagamaan.
Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama  seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu  Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya  adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan  pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya  menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St  Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan  pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh  berkahwin.
Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan  pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu  memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari  sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah  perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk  kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari  Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.
Laman web Spiritrestoration.org : The Premier, Ecumenical Christian  Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk  Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine’s Day  menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan,  dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St  Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas  sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman  sekular.
Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa  walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka  dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ’sekurang-kurangnya ada tiga  orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut  sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’
Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan  yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah  dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau  cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah  Islam.
Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai  identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan  akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi  yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.
Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah  dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan  umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian,  minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah  dengan identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai  budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
+ Artikel asal dari: http://nurjeehan.hadithuna.com













