Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah
Tahun  10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah
Wahai  manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak  mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun  ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan  sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada  hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan  ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta  setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang  diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah  kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi.  Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti  membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan  riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah  terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah  berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka  berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai  Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga  mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka  keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian  dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan  baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya  mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas  mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu  tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai  Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah,  dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,  dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah  Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara  kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang  lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal  saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap  Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa  yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu  terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai  Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan  tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan  betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang  teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat  selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah  orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang  lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari  mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya  telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.
-Sumber  dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Layari http://www.islam.gov.my/













