Jadikan Kehidupan Rasulullah Sebagai Motivasi
Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah  mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila  tibanya bulan Rabi'ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia  sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad  S.A.W. 
Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W  sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan  rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan  dan hidup bermusuhan antara satu sama lain. Yang kuat memerintah yang  tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang  lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya  berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan  tempat rujukan untuk berlindung.
Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan  Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia  ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu  sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan  amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.
Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai  penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti  kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya.  Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di  dunia dan di akhirat.
Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:
Maksudnya : "Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah  kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang  dilarangnya  kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan  bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab  siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)".
Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan  Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah  S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun  baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan  nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum  arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang  melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar  "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.
Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan  fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim  piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan  baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul  Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian  datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda  berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?.  Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu  besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika  usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di  mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri.  Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai  seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang  lain.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah  kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan  baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar  kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.
Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai  pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang  tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh  berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu  penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh  yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina  kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang  ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar  Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah  bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.
Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang  perlu dicontohi :
1. SEBAGAI KETUA  KELUARGA YANG MULIA DAN BERTANGGUNGJAWAB.
Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah,  ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah  melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda  menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga  Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. Ini  bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu  dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan  batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat  yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah  dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap  melakukan segala yang diperintahkan."
2. SEBAGAI PEMIMPIN  YANG BIJAKSANA
Rasulullah S.A.W.  merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam  memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur,  tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan  kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda  telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang  unggul dan terbilang.
Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik. Sabda  baginda :
" اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "
Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak  yang mulia ".
3. MEMILIKI AKHLAK  YANG SEMPURNA.
Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan  kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T.  di dalam al-Ahzab ayat 21 :
Maksudnya : "Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri  Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa  mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia  pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah  dan senang)."
Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan  mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk  tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan  pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.
Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan  beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong  menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan  membentuk masyarakat sejahtera.
Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di  dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka  bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini  hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta  berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh  Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan  sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta  tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta  dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras  menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.
Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan  mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita  bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja  kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu  mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. 
Begitu juga,  jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba  sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat  batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan  tidak ada penghujungnya.
Maksudnya : "Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan  orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari  bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah  (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan  mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab  Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai  hokum-hukum syari'at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi  Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." ( Surah al-Jumuah ayat  : 2 )
Nabi kita Muhammad  SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan  umat dan telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayat Baginda  dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai  panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. Ini bertepatan dengan  sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu  tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya  iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi". (Riwayat Iman Malik )
 Text diambil dari Khutbah Jumaat oleh Jakim  http://www.islam.gov.my/khutbah-online kata kunci Rasulullah 
Text diambil dari Khutbah Jumaat oleh Jakim http://www.islam.gov.my/khutbah-online kata kunci Rasulullah













