Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/libya-diserang-110-peluru-berpandu-dilancar/
      TERKINI           @ 08:29:11 AM 20-03-2011
 March 20, 2011

Penyokong Muammar  Gaddafi membawa bendera Libya di pekaranagn kediaman pemimpin itu di  Tripoli selepas tentera perikatan menyerang negara itu. — Foto Reuters
TRIPOLI,  20 Mac — Tentera perikatan Amerika Syarikat dan Eropah melancarkan  tindakan ketenteraan — dinamakan operasi Odyssey Dawn — ke atas Libya  semalam (tengah malam dan awal pagi ini, waktu Malaysia) untuk memaksa  Muammar Gaddafi menghentikan serangan ke atas rakyatnya sendiri, sekali  gus meninggalkan tampuk kepimpinan. 
 Kempen perikatan itu dilihat sebagai yang  terbesar sejak Perang Iraq hampir lapan tahun lalu. Ekoran serangan itu, televisyen kerajaan  Libya melaporkan negaranya “diceroboh musuh”. Pesawat-pesawat perang melepaskan serangan  pertama dengan memusnahkan kereta kebal pasukan tentera kerajaan di  Benghazi, sebelah timur Libya.
 Selain Amerika Syarikat, perikatan Barat itu  terdiri daripada Britain, Perancis, Kanada dan Itali. Beberapa jam kemudian (awal pagi ini waktu  Malaysia), kapal perang dan kapal selam Britain dan Amerika Syarikat  melancarkan lebih daripada 110 peluru berpandu ke atas pangkalan  pertahanan udara di sekitar Tripoli - ibu negara Libya dan bandar raya  Misrata di sebelah barat, yang dikuasai tentera Muammar.
 Pentagon berkata operasi ini diadakan untuk  menguatkuasakan resolusi PBB yang mengenakan zon larangan terbang dan  apa jua pendekatan bagi menghentikan tindakan ketenteraan Muammar di  negaranya ekoran kebangkitan rakyat yang berlarutan sejak sebulan lalu. Resolusi itu diluluskan tiga hari lalu. Malah serangan ini dilancarkan beberapa jam  selepas perikatan itu dan negara Arab mengadakan mesyuarat khas di Paris  semalam. 
“Ini bukan hasil yang Amerika Syarikat atau  mana-mana rakan kami mahukan,” kata Presiden Barack Obama yang sedang  mengadakan lawatan ke Brazil.
 “Kita tidak boleh berdiri begitu sahaja  apabila seorang penzalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak ada belas  kasihan,” kata beliau.
 Tidak sampai dua jam selepas Obama  mengeluarkan kenyataan itu, Muammar pula muncul di televisyen sambil  merayu kepada negara-negar Arab dan Amerika Latin supaya “berdiri  bersama rakyat Libya, menentang pencerobohan ini yang tidak akan membawa  apa-apa kesan, sebaliknya menjadikan rakyat Libya lebih kuat dan  bersatu.”
 Di Washington, Laksamana Muda William E.  Gortney berkata, peluru berpandu dilepaskan daripada beberapa kapal  pemusnah Amerika Syarikat dan juga kapal-kapal selam serta satu daripada  milik Britain.
 Katanya, serangan itu mengenai lebih  daripada 20 lokasi tentera udara Libya sepanjang kawasan pantai  Mediterranean dan sebelah barat.
 Katanya, serangan ini hanya bahagian pertama  siri kempen mereka dan lebih banyak serangan sudah dirancang. Kapal Amerika Syarikat yang terlibat  termasuklah USS Barry, USS Stout, USS Providence, USS Scranton dan USS  Florida manakala satu kapal selama Britain Westminster. Dalam pada itu, laporan terbaru pagi ini menyebut Libya mahu Majlis  Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar ekoran serangan Barat  sejak semalam.
Laporan stesen televisyen Al Jazeera dan Al Arabiya  yang menyiarkan harapan itu tidak memberi sumber bagi berita tersebut.













