Pusat sumber sekolah (PSS) memainkan peranan sebagai pusat informasi  yang menjadi salah satu kunci utama kepada ilmu pengetahuan dan maklumat  serta menjadi platform utama ke arah perpaduan selari dengan konsep  1Malaysia.
Timbalan Dekan (Pelajar & Alumni) Fakulti Pengurusan Maklumat  Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Azman Mat Isa berkata, PSS  merupakan salah satu medium untuk pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan  di samping memperoleh maklumat yang berkaitan dengan konsep 1Malaysia.
"Objektif 1Malaysia tidak dapat dijayakan sebaik-baiknya tanpa  bantuan institusi ilmu dan maklumat yang dikenali sebagai PSS ini,"  katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Explorasi Jaringan Maklumat  1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Kapar, Selangor, baru-baru  ini.
Program anjuran pelajar Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat  (Kepujian) Pengurusan Pusat Sumber Maklumat, UiTM Kampus Puncak Perdana  itu bertujuan mempromosi dan membudayakan penggunaan pusat sumber di  kalangan pelajar secara keseluruhan berteraskan konsep 1Malaysia.
Menurut Ketua Projek, Siti Aishah Saad, program ini juga bermatlamat  untuk menjadikan pusat sumber sebagai institusi maklumat yang terunggul  dan mampu memenuhi keperluan maklumat semasa berkaitan 1Malaysia.
"Melalui program ini, pelajar akan dapat meningkatkan lagi kesedaran  mereka bahawa pentingnya institusi PSS dalam pembinaan jati diri anak  bangsa.
"Ia selaras dengan falsafah pendidikan negara untuk melahirkan modal  insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,  bertanggungjawab serta dapat memberi sumbangan kepada keharmonian dan  kemakmuran masyarakat dan negara melalui konsep 1Malaysia," jelasnya.
Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik minat para pelajar termasuk  ceramah oleh mantan Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP), Datuk Jaafar Abdul Rahim. 
Aktiviti lain adalah kuiz, roda ilmu, teka silang kata, pertandingan  mencipta puisi dan teka gula-gula. 
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) yang turut serta  dalam program ini telah memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk  menjadi ahli secara percuma dan mengadakan Bas Perpustakaan Bergerak  untuk menarik minat pelajar terhadap buku. 
Manakala Jabatan Penerangan pula mengadakan pameran yang bertemakan  1Malaysia.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri  Selangor, Muhammad Rizal Redzuan. Turut hadir Pensyarah kanan Fakulti  Pengurusan Maklumat, Shaharom TM Sulaiman dan Pengetua SMK (P) Kapar,  Meriam Husin.













