![]()  | 
|   Abdul  Ghafar Mahmud  menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada graduan IPG pada  majlis Konvokesyen PISMP 2011 di PICC Putrajaya, baru-baru ini.   | 
Graduan sulung Program Ijazah Sarjana Muda  Perguruan (PISMP) yang kini telah mula berkhidmat sebagai pendidik  diharap dapat membawa perubahan serta menjadi sebahagian daripada pemacu  kepada kegemilangan pendidikan di negara ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata,  kemenjadian guru keluaran sulung yang dilahirkan oleh Institut  Pendidikan Guru (IPG) ini akan menjadi penanda aras untuk dinilai oleh  masyarakat dalam memberikan kepercayaan mereka terhadap tugas yang akan  dilaksanakan oleh para graduan.
"Gunakanlah pemikiran kritis dan kreatif yang diperoleh semasa  pembelajaran di bilik kuliah atau semasa menimba pengalaman dalam  pelbagai aktiviti luar kampus seperti praktikum dan pengalaman  berasaskan sekolah untuk dicurahkan kepada anak didik masing-masing,"  katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Keempat Majlis  Konvokesyen PISMP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),  Putrajaya, baru-baru ini.
PISMP yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran (KPM) pada 2007  itu melibatkan seramai 1,987 pelajar yang ditempatkan di 27 buah IPG  seluruh negara dan kumpulan pertama ini telah berjaya menamatkan  pengajian mereka pada November 2010.
Kesemua graduan ini telah pun ditempatkan di sekolah-sekolah rendah  seluruh negara bermula pada 7 Februari lalu.
Menurut Abdul Ghafar, pendidik dan pendidikan amat perlu serta  relevan sepanjang masa kerana ia elemen utama untuk membina dan  membentuk kemanusiaan.
"Guru seperti para graduan hari ini perlu mempertingkat dan  melengkapkan diri dengan kemahiran asas sebagai pendidik seperti  memahami konsep pengetahuan kandungan pedagogi.
"Semua guru hendaklah sentiasa siap siaga dengan ilmu, kemahiran  serta seni pengajaran dan juga pengetahuan kandungan serta perlu  mencari, meneliti dan membuat penyelidikan agar ilmu pengetahuan dapat  dipertingkatkan jika terdapat kekurangan," katanya.
Beliau memberitahu, konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi  seseorang guru amat penting bagi mencari, mengkaji dan menyelidik ilmu  dan kemahiran pengajaran bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak  didik mereka.
"Para guru perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan  bertambah serta disesuaikan dengan perubahan semasa dan persekitaran.
"Jika usaha tidak dibuat untuk bergerak serentak dengan perkembangan  ilmu, maka para guru akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam  aspek pembangunan manusia.
"Oleh itu, diharap agar semua guru yang telah lulus pengajian di IPG  tidak merasakan mereka telah mempunyai ilmu yang cukup sebaliknya terus  meneroka ilmu dan pengalaman bagi memastikan diri sentiasa kemas kini  dengan perkembangan serta teknik menyampaikan ilmu," jelasnyanya.
Terangnya lagi, cabaran guru pada masa kini lebih berat berbanding  dahulu di mana guru hanya mengajar tulis baca bagi mengatasi masalah  buta huruf.
"Masyarakat kini memerlukan guru yang lebih berkualiti tinggi dari  sudut keilmuan dan sahsiah, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk  membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan  intelek.
"Saya amat yakin bahawa guru mempunyai keupayaan untuk membentuk  personaliti kukuh di kalangan muridnya ditambah dengan bentuk latihan  persediaan yang diterima sebelum menyertai PISMP ini," ujarnya.
Hal ini, jelasnya, dibuktikan oleh inisiatif Bidang Keberhasilan  Utama Negara (NKRA) bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah  berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian murid  sekolah kebangsaan tahun lalu.














