Tatacara hidup suami isteri Adam dan Hawa di bumi mulai tertib dan  sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang  akan menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pertama lahirlah pasangan  Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama "Iqlima", kemudian  menyusul pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang  diberi nama "Lubuda".
Kedua orang  tua, Nabi Adam dan Siti Hawa, menerima kelahiran  keempat putera puterinya itu dengan senang dan gembira, walaupun  Hawa telah menderita apa yang lumrahnya dideritai oleh setiap ibu yang  melahirkan bayinya. Mereka mengharapkan dari keempat anak  pertamanya ini akan menurunkan anak cucu yang akan berkembang biak  untuk mengisi bumi Allah dan menguasai sesuai dengan amanat yang  telah di bebankan ke atas bahunya.
Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang maka  membesarlah keempat-empat anak itu dengan cepatnya melalui masa  kanak-kanak dan menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan  kudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan  mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita,sedang yang laki-laki  menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan  hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan Habil di  bidang perternakan.
Penghidupan sehari-hari keluarga Adam dan Hawa berjalan tertib  sempurna diliputi rasa kasih sayang saling cinta mencintai hormat  menghormati masing-masing meletakkan dirinya dalam kedudukan yang  wajar si ayah terhadap isterinya dan putera-puterinya,si isteri terhadap  suami dan anak-anaknya. Demikianlah pula pergaulan di antara keempat  bersaudara berlaku dalam harmoni damai dan tenang saling bantu  membantu hormat menghormati dan bergotong-royong. 
Keempat Anak Adam Memasuki Alam  Remaja      
Keempat putera-puteri Adam mencapai usia remaja dan memasuki alam  akil baligh di mana nafsu berahi dan syahwat serta hajat kepada  hubungan kelamin makin hari makin nyata dan nampak pada gaya dan  sikap mereka hal mana menjadi pemikiran kedua orang tuanya dengan  cara bagaimana menyalurkan nafsu berahi dan syahwat itu agar terjaga  kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di  antara putera-puterinya.
Kepada Nabi Adam Allah memberi ilham dan petunjuk agar kedua  puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik  Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama  Iqlima.
Cara yang telah di ilham oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam telah  disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang  harus dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan  suasana damai dan tenang yang meliputi keluarga dan rumahtangga  mereka. Akan tetapi dengan tanpa diduga dan disangka rancangan yang  diputuskan itu ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan  bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil dengan  mengemukakan alasan bahawa Lubuda adalah buruk dan tidak secantik  adiknya sendiri Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut  mempersunting adiknya sendiri Iqlima sebagai isteri dan sekali-kali tidak  rela menyerahkannya untuk dikahwinkan oleh Habil. Dan memang  demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah  dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada pertentangan  dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan  timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama keluarga dan sesama  suku.
Kerana Qabil tetap berkeras kepala tidak mahu menerima keputusan  ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya  sendiri Iqlima maka Nabi Adam seraya menghindari penggunaan  kekerasan atau paksaan yang dapat menimbulkan perpecahan di antara  saudara serta mengganggu suasana damai yang meliputi keluarga beliau  secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu  kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa masing- masing dari Qabil dan Habil harus menyerahkan korban kepada Tuhan  dengan catatan bahawa barang siapa di antara kedua saudara itu  diterima korbannya ialah yang berhad menentukan pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh  ayahnya. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya sedangkan  Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk  tanamnya yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua korban itu  kambing Habil dan gandum Qabil di atas sebuah bukit lalu pergilah  keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas dua jenis  korban itu.
Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Adam yang  menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di  mana kedua korban itu diletakkan, terlihat api besar yang turun dari  langit menyambar kambing binatang korban Habil yang seketika itu  musnah ternakan oleh api sedang karung gandum kepunyaan Qabil tidak  tersentuh sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Maka dengan demikian keluarlah Habil sebagai pemenang dalam  pertaruhan itu karena korban kambing telah diterima oleh Allah sehingga  dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara  kedua gadis saudaranya itu yang akan dipersandingkan menjadi isterinya. 
Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah  Manusia     
Dengan telah jalurnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil  dan menolak korban Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk  mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan keputusan itu namun tidak  ada jalan untuk menyoalkan. Ia menyerah dan memerainya dengan rasa  kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil yang akan  dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.
Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau  mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan  kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama  ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan  rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang  mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang  sudah akrab dan intim.
Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan  berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan  sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat segala  sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan. Demikianlah kata-kata  dan janji yang keluar dari mulut Qabil namun dalam hatinya ia berkata  bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan niat  jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil  saudaranya.
Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil  menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil:"Aku  datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku  lenyapkan engkau dari atas bumi ini."
"Apa salahku?"tanya Habil. Dengan asalan apakah engkau hendak  membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan  korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku  Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang  buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima  korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara  penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami  laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan  hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya  menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan  dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah  mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau  pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau  berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga  ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai  korban yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat  dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan  diterimanya oleh Allah.
Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat  jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah  menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa  jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan  aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah  dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya  berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi  diriku."
Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun  masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai  menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati  sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang  kepada saudara sekandungnya. Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak  diberinya kesempatan untuk menoleh kebelakang mempertimbangkan  kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan  bila api dendam dan dengkin didalam dadanya mulai akan padam  dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil  bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habil saudaranya,  menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan  batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya  atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil  sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban  pembunuhan pertama dalam sejarah manusia 
Penguburan Jenazah  Habil    
Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya.ia tidak  tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang semakin  lama semakin busuk itu.Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang  dipikulnya seraya mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih  melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh  jenazah Habil yang sudah busuk itu.
Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama kerana ditolong  oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya sebagaimana ia  harus menguburkan jenazah saudaranya itu.Allah s.w.t. Yang Maha  Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang  soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka  dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak  menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain  yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah  digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan  pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil  sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah bodohnya aku,  tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti  caranya menguburkan mayat saudaraku ini?"
Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya.Ia tidak melihat  Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul.Bertanyalah ia  kepada Qabil:"Di manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku  pulang."
Qabil menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba  Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."
Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam  dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya  yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu.Pada  akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu  peninggalannya.Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan  ganas itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan  keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan  yang menyesatkan.
Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah  menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai  kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan  beristighfar bagi puteranya Qabil. 
Kisah Qabil dan Habil Dalam  Al-Quran      
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua  orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku  dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan  korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah  seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil)  menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang  bertaqwa;                 (Al-Maidah  5:27)                     
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya  (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu  menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi                    .(Al-Maidah 5:30)                    
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak  (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai  celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti  burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu  menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.                                     (Al-Maidah 5:31)                    
Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam  a.s.       
Bahawasanya Allah s.w.t. hanya menerima korban dari seseorang yang  menyerahkannya dengan tulus dan ikhlas, tidak dicampuri dengan sifat  riyak, takabur atau ingin dipuji.Barang atau binatang yang dikorbankan  harus yang masih baik dan sempurna dan dikeluarkannya dari harta dan  penghasilan yang halal.Jika korban itu berupa binatang sembelihan,  harus yang sihat, tidak mengandungi penyakit atau pun cacat, dan jika  berupa bahan makanan harus yang masih segar baik dan belum rusak atau  busuk.
Bahawasanya penyelesaian jenazah manusia yang terbaik adalah dengan  cara penguburan sebagaimana telah diajarkan oleh Allah kepada  Qabil.itulah cara paling sesuai dengan martabat manusia sebagai  makhluk yang dimuliakan dan diberi kelebihan oleh Allah di atas  makhluk-makhluk lainnya, menurut firman Allah dalam surah "Al-Isra"  ayat 70 yang bererti ; "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak  Adam.Kami angkut mereka di daratan dan di lautan.Kami beri mereka  rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan  yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." 













